OCD? Apa tu?
intro: Kalau disebut penyakit was-was, mesti ramai yang tahu, kan?. Jargon macam OCD ni buat tergeliat sikit nak disebut. Obsessive Compulsive Disorder, itulah nama penuhnya. Artikel di bawah pernah diterbitkan dalam Dara.com isu 2007 kalau tak silap. Sedikit perkongsian bagi sesiapa yang sudi :)
Kenali Apa Itu OCD
Penyakit kecelaruan mental dan jiwa atau psikiatri sering disalahanggap oleh masyarakat. Seolah-olah ada stigma atau tanggapan songsang yang sudah lama tertanam di minda kebanyakan orang yang menganggap penghidapnya sebagai orang tidak mendapat tempat dalam lingkungan sosial orang-orang normal. Sebaliknya penyakit psikiatri bukanlah sehodoh yang disangkakan, malahan jenis-jenis penyakitnya bukan tertumpu kepada penyakit ‘gila’ sahaja, seperti yang difahami oleh orang awam.
Masalah gangguan psikiatri boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Walaupun seseorang itu kelihatan sihat jika dilihat daripada penampilan luaran, namun tiada siapa yang dapat menjangka turbulasi gangguan yang berlaku di dalam pemikirannya. Bezanya cuma dari segi darjah keseriusan kecelaruan yang dialami, sama ada ringan, sederhana atau pun serius.
Dara.com cuba mengupas sejenis kecelaruan mental yang mungkin jarang-jarang didengari namanya. Tetapi ia bukan suatu perkara baru yang berlaku dalam masyarakat kita. Pernahkah kamu dengar atau ketemu dengan sesiapa yang mengalami gejala seperti was-was atau sering meragui perbuatan sendiri akibat perasaan tiada keyakinan diri? Secara klinikal penyakit ini dinamakan Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD).
Menurut Kamus Lengkap Psikologi J.P Chaplin (2001), pengertian Kecelaruan Obsesif Kompulsif didefinasikan sebagai :
”Suatu psiko-neurosa dengan ciri khas adanya pemikiran (obsesi) yang tegar melekat dan sering tidak dikehendaki, serta impuls untuk melakukan kompulsi, atau perbuatan yang tidak rasional, berulang-ulang dan berbentuk ritual. Didapati pola tingkah laku yang obsesi dan kompulsif itu merupakan usaha untuk mengatasi rasa takut atau untuk meredakan atau menghilangkan perasaan bersalah.”
Dara.com telah menemui seorang doktor perubatan dalam bidang psikiatri Hospital UKM (HUKM), Dr. Tuti Iryani Mohd. Daud untuk mendapatkan penjelasan yang lebih tepat tentang gangguan mental ini.
“Obsesive Compulsive Disorder (OCD) atau Kecelaruan Obsesif Kompulsif merupakan salah satu penyakit psikiatri di bawah klasifikasi kecelaruan kebimbangan atau anxiety disorder. Istilah obsesif di sini meruju kepada seseorang yang berfikir sesuatu secara berulang-ulang. Dan fikiran itu datang daripada dirinya sendiri. Walaupun orang itu terganggu dan tidak selesa dengan gangguan itu, namun dia tidak boleh menghentikannya walaupun dicuba.
“Kompulsi pula bermaksud melakukan sesuatu tindakan dengan tujuan untuk mengatasi atau mengurangkan rasa cemas (anxious). Contohnya, seseorang yang terlalu mementingkan kebersihan akan menjadi cemas (anxious) setelah anggota badannya terkena kotoran atau terkontaminasi. Pesakit OCD akan membasuh tangannya yang kotor kerana mahu mengurangkan rasa cemas. Lazimnya masa yang diambil sehingga 30 minit berbanding orang normal yang hanya ambil dua hingga tiga minit saja untuk mencuci tangan,” katanya di awal pertemuan kami yang bertempat di HUKM.
Tuti Iryani menyimpulkan, sejumlah pemerhatian ke atas pesakit OCD mendapati gangguan obsesif kompulsif juga bertumpang tindih dengan depresi atau kemurungan. Maksudnya di sini, gangguan obsesif kompulsif berkaitan dengan perasaan negatif yang kuat, meliputi kecemasan dan juga kemurungan. Perasaan seperti rasa bersalah, rasa tidak berdaya, dan ketakutan tidak rasional hampir selalu menyertai gangguan ini.
Bayangkan sekiranya hidup kita tertumpu hanya pada satu benda yang sama untuk jangka masa yang lama dan boleh menganggu aturan kehidupan sehari-hari. Itulah yang dialami oleh penghidap OCD. Dr. Tuti memberitahu ada pesakit yang dirawatnya menunjukkan tingkah laku pelik apabila tiba giliran janjitemunya. Pesakit tersebut sanggup bangun jam tiga pagi semata-mata mahu memastikan dia tiba tepat pada waktunya. Sebaliknya dia tiba lewat ke klinik dek kerana terlalu cemas.
“Contoh lain, pesakit OCD yang memandu kereta akan menghadapi banyak masalah di sepanjang pemanduannya ke satu-satu destinasi. Oleh kerana terlalu awas, dia akan berhenti banyak kali di tengah jalan hanya untuk memastikan dia tidak terlanggar apa-apa yang bernyawa. Akibatnya masa perjalanan yang pendek menjadi panjang, secara tak langsung gangguan mental itu menganggu hidupnya jika tidak dirawat segera. Apatah lagi jika pesakitnya seorang pelajar di kampus yang menjalani kehidupan secara berjadual. Bayangkan kesusahan yang dihadapi apabila jadual kuliahnya terjejas akibat hilang tumpuan,” ujar beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang Electro Convulsive Therapy.
Secara ringkas, pesakit OCD menunjukkan beberapa ciri-ciri di bawah:
1. Orang itu obsesional dari aspek pemikiran, bayangan atau cara yang bertubi-tubi contohnya dia merasa tangannya kotor walaupun hakikatnya tidak.
2. Individu terbabit berada dalam keadaan resah, cemas, tertekan dan merasa tidak selesa dengan keadaan ’kotor’ itu.
3. Individu tersebut tahu bahawa idea atau bayangan yang hadir dalam dirinya itu adalah karut, tidak logik dan tidak sepatutnya berlaku.
4. Individu itu akan menjadi resah apabila cuba melawan dan menahan idea yang datang dala pemikirannya. OCD yang serius boleh menyebabkan seseorang pesakit tidak boleh buat apa-apa hinggakan ada pesakit yang tidak berani keluar dari rumah kerana perasaan terlalu bimbang yang tidak berasas.
Sebab-sebab OCD
Tuti Iryani menegaskan tidak terdapat faktor-faktor tertentu yang boleh disabitkan sebagai punca OCD. Namun ada beberapa sebab yang boleh menyumbang kepada terjadinya OCD:
1. Kekurangan bahan kimia bernama seretonin dalam bahagian tertentu otak. Kekurangan bahan ini boleh menyebabkan penyakit psikiatri akibat ketidakseimbangan dalam otak yang normal.
2. Boleh terjadi atas sebab keturunan tetapi tidak semestinya berlaku. Seseorang itu hanya ada risiko lebih tinggi daripada orang lain untuk menghidapnya.
OCD boleh berlaku secara tiba-tiba pada usia seawal kanak-kanak. Ia tidak boleh dikawal atau dihentikan dengan mudah malahan pesakitnya sendiri tidak mahu gangguan itu berlaku ke atas dirinya.
OCD Masih Boleh Dirawat.
Tambah beliau lagi, setakat ini tidak ada statistik secara rasmi yang boleh memberi gambaran sebenar penghidap OCD dalam populasi Malaysia tetapi ia memang ada berlaku di kalangan masyarakat tempatan. Daripada pembacaan beliau melalui jurnal perubatan, kajian di Amerika Syarikat melaporkan sebanyak satu nisbah 50 daripada rakyatnya menghidap OCD. Ini menunjukkan OCD bukanlah suatu penyakit yang pelik dan ia masih boleh dirawat.
“OCD atau penyakit was-was bukanlah penyakit yang pelik. Oleh itu sekiranya ada penghidap yang terbaca artikel ini harus berasa lega kerana kamu tidak berseorangan di dunia ini. Masih ramai lagi yang di luar sana yang mempunyai masalah yang sama,” katanya.
Terdapat dua bentuk rawatan akan diberi kepada seseorang penghidap iaitu secara ubat-ubatan dan psikoterapi.
1. Ubat-ubatan.
Lazimnya seseorang doktor akan memberi sejenis ubat yang boleh membantu menyeimbangkan kehadiran bahan seretonin dalam otak pesakit. Selain itu pesakit juga akan diberi ubat anti-obsesif seperti chlomipramine dan fluxomine bagi membantu menenangkan pesakit. Ubat-ubatan ini juga berpotensi untuk menghapuskan fikiran obsesional pesakit.
Ubatan hanya akan diberi selepas berbincang dengan doktor agar dos yang diambil bersesuaian dengan keadaan di pesakit. Kesan dari ubatan hanya ditunjukkan selepas dua minggu pengambilannya.
2. Pendekatan CBT (cognitive behavioral therapy):
Pendekatan ini merangkumi psikoterapi kognitif (pemikiran) dan tingkahlaku:
a) Psikoterapi tingkahlaku
Rawatan bentuk ini akan mendedahkan pesakit dengan ‘ketakutannya’ manakala pemerhati akan cuba mencegah rasa cemas (anxiety) pesakit secara berperingkat-peringkat. Contohnya pesakit yang takutkan kotoran tanpa sebab-sebab yang kukuh. Pesakit dikehendaki menyentuh sebuah meja yang kelihatan kotor. Pemerhati akan memaksanya menyentuh meja untuk jangka masa tertentu hinggalah ketakutannya hilang. Tindakan ini akan dilakukan berulang-ulang hingga tiba suatu tahap pesakit boleh mengatasi ketakutannya.
b) Psikoterapi kognitif
Terapi ini akan membantu pesakit mengubah pemikiran mereka terhadap benda yang ditakuti. Pesakit akan dibantu mengatasi masalah ini melalui cadangan dan perbincangan berdasarkan pemikiran yang rasional. Contohnya pesakit enggan memegang meja yang kotor. Pemerhati akan meminta pesakit memberi bukti-bukti yang meja itu kotor. Perbincangan akan berterusan sehinggalah pesakit setuju dengan pendapat pemerhati bahawa tindakan menyentuh meja itu tidak berbahaya.
CBT lazimnya bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri. Kebiasannya tempoh yang harus dilakui untuk pulih adalah sebanyak 12 hingga 20 sesi.
Peranan Pesakit dan Keluarga.
Seorang penghidap OCD mempunyai beberapa tanggungjawab yang harus dipenuhi:
1. Redha dengan pemberian Allah sebagai ujian hidup.
2. Mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar untuk mengetahui tahap penyakit yang dialami untuk langkah rawatan yang sewajarnya.
3. Selalu banyak membaca, bertanya soalan dan melengkapkan diri dengan pengetahuan.
Namun tanpa sokongan moral dari keluarga terdekat, si pesakit mungkin mengalami jalan sukar untuk sembuh. Oleh itu keluarga yang mempunyai ahli yang bermasalah OCD diingatkan agar jangan terlalu cepat mengkritik tindakan obsesif kompulsif pesakit kerana ditakuti penyakit yang dialami akan menjadi bertambah teruk.
“Cubalah kita bentuk sikap kita menjadi orang yang pemurah dengan pujian dan galakan. Sekiranya kita ada melihat perubahan walaupun sedikit pada ahli keluarga terbabit, berilah respon yang positif. Kita tidak boleh terlalu mengharapkan perubahan besar ke atas pesakit kerana proses rawatannya mengambil masa. Ahli keluarga juga haruslah lebih mengawasi perubahan kerana orang luar saja yang dapat mengesan perubahan itu berbanding penghidapnya sendiri,” ujar beliau.
Tuti Iryani sendiri sebagai pengamal perubatan moden mengatakan tidak ada jaminan seseorang itu akan pulih 100 peratus selepas menjalani rawatan. “Tetapi saya yakin, sebagai penganut agama Islam, kita harus percaya bahawa syifa atau anugerah penyembuhan itu datangnya dari Allah. Saya ingin nasihatkan para pesakit, paling penting di sini adalah usaha kita ke arah mendapatkan rawatan. Urusan seterusnya kita bertawakal, serahkan urusan selebihnya kepada Allah, berjaya atau tidak usaha kita, pasti ada hikmah di sebaliknya,” kata beliau dengan optimis.
Penulis turut bertanyakan sama ada penyakit ini boleh kembali terjadi ke atas seseorang yang telah pulih. “Jawapannya boleh. Sekali ia berlaku, ia akan tetap ada dalam dirinya. Antara faktor yang boleh menyebabkan penyakit lama berulang kembali adalah keadaan mental yang stres. Oleh itu saya menganjurkan agar bekas pesakit sentiasa peka dengan keadaan sekeliling selain menjalani kehidupan yang seimbang dan lebih sihat.
“Untuk maklumat lanjut bolehlah melawat ke www.mentalhealth.org.my untuk maklumat lebih lanjut tentang OCD dan pelbagai lagi jenis kecelaruan mental. Laman web ini dikendalikan oleh kumpulan pakar yang boleh membantu dengan khidmat rawatan kesihatan mental kepada orang awam,” tutur beliau seraya mengakhiri perbualan kami. Diharap melalui penulisan ini akan dapat memberi serba sedikit penerangan dan penjelasan tentang masalah yang sering ditanggap serong ini.

No comments:
Post a Comment